Tipu Daya Syaitan : Menjadi jurucakap Allah


Dalam ayat 169 , surah al-Baqarah , Allah s.wt. mengingatkan :

Ia ( syaitan ) hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji , dan ( menyuruh ) supaya kamu berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui " - al baqarah 2:169

Apakah yang dimaksudkan dengan " berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui " ? . Mudahnya , ia seumpama menjadi jurucakap Allah. Syaitan akan menghasut seseorang itu untuk menjadi jurucakap Allah ( spokesman and spokesman for god ) , iaitu bercakap tentang Allah dan Islam tanpa ilmu pengetahuan.

Pada zaman Rasulullah s.a.w " berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui " merujuk kepada orang orang jahiliyah dan kafir musyrik yang mendakwa Allah memiliki anak , malaikat ialah anak perempuan Allah dan berhala mereka ialah wakil Allah di muka bumi . Maha Suci Allah dari semua dakwaan itu .

Ada pun pada masa kini , " berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui " berlaku dalam beberapa bentuk. Berikut tiga contoh :

Contoh pertama : Mengulas sebab di sebalik sesuatu tragedi .


Apabila berlaku sesuatu tragedi alam seperti banjir , gempa bumi dan kemarau , akan ditemui orang orang yang memberi ulasan : " Tragedi ini berlaku kerana kilang arak di sana " , atau " Semua ini berlaku kerana ajaran sesat penduduknya . Seolah olah yang mengulas itu mempunyai hubungan terus ( direct line ) dengan Allah dan seterusnya menjadi jurucakap Allah dalam menerangkan kenapa sesuatu tragedi itu berlaku. Yang benar dia hanya mempunyai hubungan terus dengan syaitan dan syaitan menipunya untuk "berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui."

Benar bahawa semua tragedi, atau lebih tepat: bala' berlaku dengan kehendak Allah s.w.t. Akan tetapi kita tidak tahau mengapa Allah menurunkan bala' tersebut. Lebih dr itu, tidak semua bala' Allah turunkan kerana dosa yang pernah dilakukan oleh mangsanya. Ini kerana bala' itu juga boleh jadi satu ujian Allah kepada para hamba yang dicintaiNya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya besarnya ganjaran berkadar terus dengan besarnya bala'. Sesungguhnya jika Allah mencintai satu kaum, Dia menurunkan bala' kepada mereka. Sesiapa yang redha maka Allah redha kepadanya dan sesiapa yang marah maka Allah murka kepadanya". - hasan : dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam sahih sunan al-Tirmizi , hadis no 2396 ( kitab al-zuhud , bab berkenaan sabar terhadap bala') .

Seandainya kita hidup bersama Rasulullah s.a.w dan bertanya kepada baginda mengapa sesuatu bala berlaku , nescaya baginda sendiri tidak berani berkata apa apa melainkan diam sehingga turun wahyu dari Allah untuk menerangkan sebabnya. Oleh itu sikap yang benar dalam menghadapi sesuatu tragedi atau bala bukanlah mengulas mengapa ia berlaku tetapi apa yang kita lakukan untuk membantu mangsanya.

Contoh kedua : Menyampaikan Hadis tanpa menyemak sumber dan darjatnya.

Menjadi satu kebiasaan di Malaysia bahawa hadis hadis Rasulullah s.a.w disampaikan tanpa memerhatikan sumber dan darjatnya. Apa saja yang dikenali sebagai hadis , maka ia terus dianggap sebagai benar benar berasal dari mulut Rasulullah s.a.w . Padahal apabila disemak hadis hadis tersebut , nescaya kebanyakkannya tidak memilik asal usulnya atau memiliki darjat yang tidak menepati disiplin ilmu hadis sehingga tidak dapat disandarkan kepada Rasulullah .

Sama sama diketahui bahawa ucapan Rasulullah adalah wahyu yang berasal dari Allah. Allah s.w.t berfirman :

Dan dia ( Muhammad tidak memperkatakan ( sesuatu yang berhubung dengan Islam ) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.Segala yang diperkatakannya itu ( sama ada al-Quran atau hadis ) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. " - al - Najm 53: 3-4

Apabila sesuatu hadis disampaikan tanpa menyemak sumber dan darjatnya , orang yang menyampaikannya telah menjadikan hadis tersebut sebagai wahyu yang berasal dari Allah. Seolah olah dia mempunyai hubungan terus ( direct line ) dengan Allah dan seterusnya menjadi jurucakap Allah dalam menerangkan hadis itu dan ini . Yang benar dia hanya mempunyai hubungan terus dengan syaitan dan syaitan menipunya untuk " berkata Allah apa yang kamu tidak ketahui."

Benar bahawa jumhur ilmuan membolehkan hadis ringan kelemahannya disampaikan untuk tujuan keutamaan amal ( fadhail al Amal ) dan menganjurkan yang baik serta mengancam yang buruk ( al - Targhib wa al Tarhib ) . Akan tetapi kebolehan ini hanya khusus untuk ahli hadis kerana mereka yang tahu kadar kelemahan sesuatu hadis. Para agamawan seperti imam , khatib , ustaz dan ustazah bukanlah ahli hadis , oleh itu kebolehan di atas tidak meliputi mereka.

Contoh ketiga : Membicara Agama Tanpa Ilmuan

Berbincang tentang Islam memang baik jika ia di dasari kepada ilmu yang sahih . Sebaliknya perbincangan tentang Islam menjadi tercela jika ia dilakukan tanpa ilmu atau dengan ilmu yang menyeleweng. Mutakhir ini ramai orang yang suka berbincang tentang Islam . Sama ada ceramah di masjid , kuliah di surau , berbalas pandangan di Internet atau sembang sembang di kedai kopi , ramai yang suka berbincang tentang Islam. Tak kira sama da orang orang yang berbincang itu duduk dalam jurusan agama atau selainnya , pelbagai pemikiran , hukum dan petua dikemukakan tanpa henti .Seolah olah Islam adalah sebuah cerpen agama , masing masing boleh mengarang cerita khalayannya sendiri.

Lebih tepat lagi , seolah olah semua orang mempunyai hubungan terus ( direct line ) dengan Allah dan seterusnya menjadi jurucakap Allah untuk menerangkan sekian sekian pemikiran , hukuman dan petua berkenaan agamaNya . Padahal dia hanya mempunyai hubungan terus dengan syaitan dan syaitan menipunya untuk " .. berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui. "

Jika hendak dibandingkan , 1400 tahun yang lalu terdapat seorang manusia yang terkenal lagi jujur . Dia adalah seorang pendiam , tidak berkata kata kecuali sesuatu yang benar dan bermanfaa. Dia adalah manusia yang amat disayangi oleh Allah s.w.t sehingga Allah melantiknya menjadi pesuruh-Nya bagi menyampai agama yang terakhir kepada manusia . Orang yang saya maksudkan ialah Muhammad s.aw . Akan tetapi sekali pun baginda memiliki kedudukan yang amat mulia di sisi Allah , Allah tetap memberi amaran kepadanya :

Dan kalaulah (Muhammad ) mengatakan atas nama Kami sebrang kata kata rekaan , sudah tentu Kami akan menyentapnya dengan kekuasaan Kami , kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya ! " - al-Haqqah 69 : 44- 46


- dari buku 7 TIPU DAYA SYAITAN KE ATAS UMAT ISLAM . Tulisan Hafiz Firdaus Abdullah




TERIMA KASEH DAUN KELADI KALAU BOLEH KOMEN SEKALI !

No comments:

♥♥♥♥♥♥♥♥♥

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...